Hubungi Kami

Hospital Port Dickson
KM 11 Jln Pantai
71050 Sirusa Port Dickson, N. Sembilan
No. Tel : 06-648 7333
No. Fax : 06-662 5003
Emel: hpd@moh.gov.my

Waktu Melawat

ISNIN-JUMAAT :
Waktu 1 : 12.30 tghari - 2.00 petang
Waktu 2 : 4.30 petang - 7.00 petang

SABTU/AHAD/KELEPASAN AM :
12.30 tghari - 7.00 petang

Media Sosial Rasmi

Hospital@Facebook
Sila Like FB Page :
Hospital Port Dickson -Official- untuk mengikuti perkembangan semasa Hospital Port Dickson di media sosial.

Selamat Datang ke Laman Web Rasmi HPD

RSS Feed
(1) 2 »
Topik Kesihatan : Bulimia & kesan Pada Gigi
on 2018/11/23 2:50:00 (5043 reads)

Bulimia & Kesan pada Gigi

Bulimia juga di kenali sebagai bulimia nervosa adalah satu masalah fisiologikal berkaitan tabiat makan yang tidak sihat. Pesakit yang mengidap bulimia ini biasanya makan lebih banyak dari kebanyakan orang biasa. Rasa kuat ingin makan ini bukannya didorong oleh rasa lapar yang amat sangat. Selepas makan, biasanya para pengidap bulimia ini akan merasa bersalah terutama mengenai berat badan. Biasanya pengidap masalah ini akan melalukan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti menjolok tekak bagi memuntahkan makanan secara paksa, berlapar, penggunaan ubat laksatif dan diuretik mahupun melakukan senaman berlebihan bagi menurunkan berat badan secara tergesa - gesa dan berlebihan.

Pada mulanya, Bulimia ini hanya dikenali sebagai masalah yang berhubung kait dengan tabiat pemakanan secara tidak sihat pada tahun 1980an. Adalah agak sukar untuk mengenali pesakit dari golongan ini sebab kebanyakan mereka boleh kelihatan seperti normal dan mempunyai berat badan yang unggul. Walau bagaimanapun, terdapat juga segelintir yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan golongan ini terdiri daripada wanita yang berjaya dalam kerjaya mereka.

Selain dari itu, pesakit dengan masalah ini melakukan aktiviti-aktiviti tidak sihat secara sulit dan bersendirian tanpa di ketahui umum dan biasanya sukar untuk mendapatkan pengakuan dari mereka bila di tanya.

Apakah yang menyebabkan bulimia?

Buat masa ini, tidak terdapat sebarang jawapan yang tepat. Para pengkaji percaya ia adalah berpunca dari rasa depresi, tekanan perasaan, rasa tidak puas hati pada berat badan dan bentuk tubuh yang di miliki. Biasanya mereka yang mempunyai masalah ini akan cepat merasa rendah diri, tidak berketerampilan dan takut akan jadi gemuk.

Komplikasi kesihatan dari Bulimia

Beberapa komplikasi yang biasa dilihat adalah seperti berikut:

Lapisan enamel gigi akan menjadi haus akibat terdedah pada kandungan asik gastrik secara berkala.
Kaviti akan terbentuk pada gigi, menyebabkan perasaan sensitif pada gigi dalam keadaan sejuk dan panas.
Bengkak dan sakit pada kelenjar liur ( muntah yang kerap)
Ulser perut
Luka yang dalam atau tertembus pada lapisan dalam perut dan saluran esofagus
Pengumpulan air yang banyak dalam usus
Gangguan pada sistem buang air besar
Ketidakseimbangan cecair elektrolit badan
Dehidrasi/ kering di sebabkan kurang kandungan air
Kadar denyutan jantung yang tidak teratur dan serangan jantung dalam kes teruk
Berisiko tinggi untuk bunuh diri
Libido berkurangan
Tanda dan gejala Bulimia

Beberapa tanda - tanda yang biasa dilihat adalah seperti berikut:

Tabiat makan yang tidak dapat di kawal
”Menyingkirkan” makanan yang telah diambil dengan cara yang tidak betul
Amalan diet yang terlalu ketat
Bertahan lapar
Melakukan senaman jasmani yang berlebihan
Muntah, menggunakan ubat laksatif atau diuretik secara tidak betul untuk menurunkan berat badan
Muntah darah
Penggunaan tandas yang kerap selepas makan.
Terlalu risau tentang berat badan
Depresi atau mood yang berubah-ubah
Perasaan yang tidak dapat di kawal
Bengkak kelenjar di leher dan muka
Rasa pedih di ulu hati
Rasa perut buncit
Makanan tidak dapat dihadam sempurna
Sembelit
Pusingan haid yang tidak menentu
Masalah pergigian
Rasa lemah
Rasa letih
Faktor risiko Bulimia

Masalah tabiat makan yang tidak sihat ini merupakan fenomena yang kerap dilihat dalam beberapa kerjaya seperti permodelan, penari, ahli gimnastik, peninju dan pelari jarak jauh.

Statistik Bulimia

Di Amerika Syarikat, terdapat lebih kurang 10% pelajar kolej wanita lepasan remaja mengidapi sindrom Bulimia.
Lebih kurang 10% dari pengidap Bulimia adalah lelaki
10% dari pesakit Bulimia mati akibat kelaparan, serangan jantung, dan komplikasi perubatan lain, ataupun bunuh diri.
Hakisan pada gigi

Bulimia telah lama dikenal pasti sebagai salah satu sebab kepada hakisan gigi sepertimana yang di laporkan dalam beberapa kajian ke atas orang dewasa. Hellstrom dan Hurst adalah pengkaji yang mula mengenal pasti dan melaporkan masalah bulimia pada tahun 1977. Selepas dari itu, terdapat banyak laporan yang dikeluarkan mengenai masalah ini. Kebelakangan ini , statistik menunjukkan masalah ini semakin meningkat. Muntah yang teruk dan berlebihan akan menyebabkan hakisan pada gigi terutama di bahagian lelangit (palatal) gigi-gigi di rahang atas.

Hakisan pada gigi ini boleh didefinisikan sebagai kehilangan tisu keras gigi akibat tindakan bahan kimia yang tidak melibatkan bakteria. Struktur gigi akan mula dihakis bila di dedahkan kepada sumber luar seperti makanan dan minuman berasid, ataupun dari sumber intrinsik seperti asid yang di muntahkan dari dalam perut ke rongga mulut (refluk gastroesophagus) atau muntah.

Hal ini terjadi bilamana, makanan yang telah dicerna dalam perut (bolus) dengan paras keasidan pH kurang dari 1, ditolak keluar melalui esofagus ke rongga mulut secara luar kawalan dan bersentuhan dengan gigi-gigi sedia ada (GERD - gastroesophageal reflux disease).

Tanda, gejala dan diagnosis

Tanda-tanda pada peringkat awal hakisan biasanya tidak disedari. Proses hakisan ini akan berterusan secara perlahan dan pada peringkat teruk, ia akan menyebabkan kehilangan lapisan enamel gigi. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya gigi sensitif. Namun demikian, ramai orang tidak tahu akan akibat dari hakisan ini dan langkah-langkah sesuai yang perlu diambil bagi melindungi gigi dari komplikasi hakisan ini.

Pengambilan riwayat perubatan yang terperinci dan pemeriksaan secara menyeluruh adalah sangat-sangat digalakkan bagi mengenal pasti faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada risiko hakisan gigi di kalangan pesakit.

Tanda dan gejala gigi terhakis

Lut cahaya Gigi hadapan akan kelihatan telus dan nipis di pinggir gigitan
Sensitif Apabila dentin terdedah, gigi akan terasa sensitif bila mengambil makanan dan minuman panas, sejuk atau manis.
Berubah warna Gigi akan berwarna kekuningan bila lebih banyak dentin yang terdedah.
Gigi tak rata Permukaan gigi dan bahagian pinggir insisor akan kelihatan berlekuk lekuk.
Retak Permukaan gigi akan menjadi kasar dan mungkin terdapat keretakan kecil di pinggir insisor gigi.
Lekukan Terdapat lekukan kecil pada permukaan mengunyah gigi. Sebarang tampalan akan kelihatan menimbul.

Kepekaan dentin (sensitif) boleh terjadi pada mana-mana peringkat hakisan gigi. Keadaan ini sering di lihat bila gigi tersentuh dengan makanan atau minuman yang panas, sejuk mahupun manis. Biasanya, pesakit lupa untuk melaporkan tentang keadaan gigi yang sensitif semasa diperiksa.

Pencegahan kehakisan gigi

Keupayaan untuk mengenal pasti keadaan hakisan gigi (pada peringkat awal) dan penyebabnya adalah penting dalam aspek pencegahan dan buat perancangan rawatan yang sesuai bagi mengelakkan komplikasi yang teruk. Setiap rancangan rawatan adalah berbeza tertakluk pada keadaan individu memandangkan faktor penyebab adalah luas.

Cadangan-cadangan untuk mengurangkan risiko hakisan pada gigi adalah seperti berikut:

Mengurangkan atau berhenti mengambil minuman berkarbonat
Mengunyah gula-gula getah tanpa gula, mengambil julap tanpa gula, atau makan sekeping keju selepas makan makanan berasid bagi merangsang pengeluaran liur yang banyak bagi melindungi enamel gigi.
Berus gigi satu jam selepas mengambil makanan atau minuman berasid.
Berus gigi dengan menggunakan berus lembut, ubat gigi berfluorida yang mempunyai lelasan dan tahap asid yang rendah..
Tahap hakisan pada gigi boleh dikategorikan sebagai sedikit, sederhana atau teruk. Hakisan gigi yang teruk daripada dijangka pada umur tertentu boleh dianggap patologi. Kedua dua pesakit dan perawat perlu berbincang tentang kaedah yang di anggap paling sesuai dalam menangani masalah ini. Biasanya, keadaan lanjut boleh dicegah dengan bertukar cara hidup yang lebih sihat seperti mengelakkan pengambilan makanan dan minuman asidik yang boleh menghakis gigi. Hakisan yang terjadi di permukaan pengunyahan gigi akan menyebabkan gangguan pada kestabilan satah gigitan.

Rawatan untuk bulimia termasuk memberi ubat anti-depresi atau psiko aktif yang bertindak atas kelenjar liur.

Cadangan

Ujian khas seperti penilaian GERD boleh di gunakan semasa rujukan. Sama ada faktor penyebab boleh dikenal pasti atau tidak, protokol pencegahan perlu dilaksanakan bagi mencegah penularan.

Keadaan gigi mesti di periksa secara berkala dan direkodkan seperti mengambil gambar atau membuat model tuangan bagi tujuan pemerhatian dan perbandingan serta penilaian terhadap kepatuhan dan kejayaan dalam rawatan. Hakisan pada gigi memerlukan perhatian dan jagaan yang rapi. Pengenalan awal adalah perlu bagi mencegah hakisan lanjut ke peringkat yang lebih teruk.



Semakan Akhir : 17 Disember 2009
Penulis : Dr. Balkis bt. Ghazali




Read More... | 9472 bytes more
Topik Kesihatan : Botox (Toksin Botulinum)
on 2018/1/12 3:20:00 (3673 reads)

Toksin Botulinum merupakan sejenis toksin yang dihasilkan oleh bakteria Clostridium botulinum. Sebanyak 7 jenis toksin botulinum telah dikenalpasti, iaitu jenis A, B, C (C1, C2), D, E, F dan G. Sindrom Botulisme akan berlaku sekiranya seseorang termakan makanan yang telah dicemari bakteria berkenaan. Sindrom tersebut juga boleh berlaku akibat daripada kolonisasi oleh bakteria dalam sistem penghadaman bayi, ataupun daripada jangkitan pada luka. Sindrom Botulisme pada manusia biasanya disebabkan oleh bakteria jenis A, B, E, dan kadang-kala F; manakala jenis C and D hanya akan membawa kesan kepada binatang sahaja.

Read More... | 5798 bytes more
Topik Kesihatan : Aditif Makanan
on 2017/8/9 1:50:00 (7138 reads)

ADITIF MAKANAN - Apa yang perlu anda tahu?

Apakah itu aditif makanan?

Aditif makanan adalah bahan yang selamat dimakan yang ditambah
secara sengaja ke dalam makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi tidak termasuk vitamin dan mineral.

Tujuan aditif makanan ditambah dalam makanan adalah untuk:
• Memanjangkan jangka hayat penyimpanan makanan
• Meningkatkan kualiti makanan dan persembahan (tekstur, warna, rupa, rasa dan konsistensi)
• Menambah keenakan makanan
• Memberi pilihan kepada pengguna

Aditif makanan seharusnya tidak dikelirukan dengan bahan pencemaran (kontaminan). Bahan pencemaran adalah bahan yang tidak ditambah secara sengaja dalam makanan seperti logam berat, residu racun perosak dan drug veterinar.
Salah faham terhadap aditif makanan
Sesetengah orang percaya aditif makanan itu adalah bahan kimia dan justeru itu, ia seharusnya diharamkan penggunaannya. Dalam konteks sains makanan, perkataan ‘bahan kimia’ tidak mempunyai maksud kerana udara, air, gula dan garam juga adalah bahan kimia seperti aditif makanan.

Perkara penting yang perlu diambil perhatian adalah kebanyakan aditif makanan yang digunakan boleh didapati secara semula jadi. Contohnya:
• Pektin yang digunakan untuk memekatkan jem diperolehi daripada tumbuhan.
• Lesitin yang digunakan untuk menghalang pengasingan makanan diperolehi daripada kuning telur.
• Aditif semula jadi yang lain termasuk karamel sebagai pewarna, vitamin C sebagai antipengoksida, agar daripada rumpair laut sebagai penstabil.

Salah faham mengenai aditif makanan telah membuat pengguna lebih tertumpu kepada mengelakkan aditif makanan lebih daripada mengamalkan diet yang seimbang.

Sejak bila aditif makanan digunakan dan kenapa?
Penggunaan aditif makanan telah menjadi amalan biasa sejak ratusan tahun dahulu di mana aditif makanan ditambah ke dalam makanan melalui pelbagai cara untuk membantu mengawet, menyedapkan, mencampur, memekatkan atau mewarna makanan. Nenek moyang kita telah menggunakan garam untuk mengawet daging dan ikan serta rempah ratus untuk menyedapkan makanan. Sementara kuning telur selalu digunakan bagi tujuan mengadunkan air dan minyak. Cuka serta gula juga digunakan sebagai aditif makanan bagi mengawet buah-buahan dan membuat jeruk.

Jenis-jenis aditif makanan
Mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985, jenis-jenis aditif makanan yang dibenarkan adalah:
• Bahan pengawet
• Bahan pewarna
• Bahan perisa
• Penambah perisa
• Antipengoksida
• Kondisioner makanan

Jenis-jenis kondisioner makanan yang dibenarkan adalah :
1. Pengemulsi dan agen antibuih
2. Penstabil, pemekat, kanji ubahsuai dan agen pengelan
3. Pengawal asid
4. Enzim
5. Pelarut
6. Agen antipengerakan Asid fosforik, magnesium karbonat, gum xanthan, lecithin

Read More... | 6948 bytes more
Topik Kesihatan : Rabies
  on 2017/8/9 0:10:00 (7077 reads)

Apakah Penyakit Rabies?

Penyakit rabies adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan Lyssavirus dari haiwan seperti anjing yang dijangkiti rabies.

Rabies berjangkit melalui luka gigitan, luka terbuka pada kulit dari air liur, cairan atau tisu tubuh dari haiwan tersebut kepada manusia.

Masa inkubasi rabies adalah 3 minggu hingga 2 bulan dari gigitan haiwan rabid hingga timbul gejala.

Individu yang dijangkiti rabies akan mengalami tanda klinikal seperti demam, sakit badan dan kepala, hidrofobia, lumpuh dan koma. Rabies adalah satu penyakit yang menyebabkan kematian 100% jika tanda-tanda penyakit telah timbul.


Read More... | 778 bytes more
Topik Kesihatan : Talasemia
on 2017/8/8 23:30:00 (107826 reads)

Apa itu Talasemia?

Talasemia adalah kumpulan penyakit yang menghalang badan daripada menghasilkan jumlah darah yang mencukupi dan berkualiti. Keadaan ini disebabkan oleh perubahan terhadap gen yang mengawal penghasilan hemoglobin. Hemoglobin adalah protein dalam sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh badan. Perubahan kepada hemoglobin boleh menyebabkan kekurangan darah yang teruk.

Badan manusia bergantung kepada tahap hemoglobin yang berfungsi dengan baik.

Penyakit Talasemia adalah penyakit keturunan yang di warisi dari ibu atau bapa kepada anak melalui gen. Kedua-dua kanak-kanak lelaki atau perempuan mempunyai peluang untuk mendapat penyakit tersebut. Ianya tidak dijangkiti melalui pemindahan darah, udara dan air atau melalui sentuhan fizikal dan juga hubungan seksual ataupun boleh disebabkan oleh kekurangan zat makanan atau masalah kesihatan.

Epidemiologi

Penghijrahan masyarakat dan juga perkahwinan campur antara berlainan bangsa dalam masyarakat telah menyumbang kepada penularan penyakit talasemia ini ke seluruh negara di dunia.

Peta di atas menunjukkan negara-negara yang diserang B -Talasemia (tidak jelas Negara manakah yang terlibat dan bagaimana ia terlibat.

Seorang daripada setiap 20 orang rakyat Malaysia adalah pembawa Talasemia. Di Malaysia sahaja terdapat lebih kurang 600 ribu hingga 1 juta adalah pembawa Talasemia dan dianggarkan seramai 2500 pesakit pembawa Talasemia Utama. Biasanya kaum Melayu, Cina dan Sabah tetapi jarang terdapat di kalangan kaum India dan juga rakyat peribumi Sarawak.

Bagaimana Talasemia boleh diwarisi dari ibu bapa kepada anak-anak?

Setiap manusia mempunyai 2 jenis gen, dan ianya diwarisi dari ibu dan sebahagiannya dari bapa. Antara gen tersebut, terdapat 2 gen yang mengawal pembentukan hemoglobin yang terdapat dalam setiap sel darah merah. Mari kita lihat contoh 3 pasangan yang berlainan:

Kedua ibu bapa adalah normal. Mereka tidak mungkin mewariskan penyakit Talasemia atau Talasemia Major kepada anak-anak.
Salah seorang ibu bapa penghidap Talasemia dan seorang lagi adalah normal. Setiap anak mempunyai 1 antara 2 (50%) peluang untuk mewarisi gen Talasemia daripada ibu atau bapa yang menjadi pembawa, besar kemungkinan kanak-kanak tersebut akan mendapat Talasemia. Ianya juga 1: 2 (50%) peluang untuk kanak-kanak tersebut mewarisi gen yang normal daripada ibu atau bapa pembawa. Jika ini berlaku kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan normal. Tiada seorang pun anak pasangan ini mendapat Talasemia major.
Kedua ibu dan bapa adalah pembawa Talasemia, mereka adalah golongan berisiko.
Kedua pasangan pembawa mempunyai peluang 1: 4 (25%) mempunyai peluang di setiap kehamilan dan melahirkan anak yang mengalami Talasemia major, 1: 2 (50%) berpeluang mempunyai anak yang mendapat ?Thalasemia trait?, dan 1:4 (25%) anak berpeluang mewarisi gen yang normal dari kedua ibu bapa dan ianya bebas dari penyakit tersebut.

Jenis-jenis Talasemia?

Talasemia Major - Pesakit Talasemia
Talasemia Minor - pembawa, tiada gejala-gejala dan kelihatan sihat.
Apakah tanda-tanda yang ditunjukkan oleh pesakit Talasemia Major?

Sel darah merah dalam penghidap Talasemia Major hanya boleh hidup dalam beberapa minggu sahaja berbanding dengan sel darah merah yang normal selama 4 bulan. Kekurangan Hemoglobin menyebabkan kekurangan oksigen dalam setiap sel badan.

Tanda-tanda awal pada kanak-kanak:

Kelihatan normal semasa kelahiran. Walau bagaimanapun ianya secara perlahan-lahan anak tersebut kelihatan pucat dan bertambah teruk apabila usia meningkat pada 6-18 bulan
Kanak-kanak kelihatan letih dan gelisah
Kekurangan darah (Anemia) yang teruk boleh mengakibatkan sesak nafas
Kulit kelihatan kekuningan (Jaundice)
Kurang selera makan
Kembung perut disebabkan oleh pembengkakan hati dan limpa
Perubahan pada pembentukan tulang muka
Bagaimana untuk mengesahkan Talasemia?

Sejarah dan pemeriksaan fizikal.
Penyelidikan makmal:
Indeks Hematologi. Parameter Hematologi ini diukur menggunakan peralatan elektronik untuk mengira sel darah merah. Ianya untuk menilai ukuran dan isi padu sel darah merah dan jumlah hemoglobin yang terdapat di dalamnya. Talasemia disahkan apabila ukuran dan isi padu sel darah merah dan kepekatan hemoglobin di dalamnya menunjukkan berkurangan dengan jelas.
Filem Darah dan morfologi sel darah merah. Apabila dilihat di bawah mikroskop, sel darah merah kelihatan pucat dan lebih kecil dari ukuran normal dan yang paling penting kebanyakan mempunyai bentuk yang ganjil: anisocytosis, poikilocytosis.
Hemoglobin electrophoresis. Proses ini adalah untuk memisahkan protein berlainan yang menghasilkan molekul Hemoglobin- contohnya HbA,HbA2, dan HbF. Bagi pengesahan penyakit Talasemia ditentukan di mana tahap Hemoglobin janin (HbF) adalah tinggi dari paras normal dan perbezaannya adalah antara 20-90%. HbA2 biasanya dikira sehingga 3% dari paras normal hemoglobin dewasa, boleh jadi tidak wujud, berkurangan, normal atau sedikit meningkat.
Kaedah Molekular. Kaedah ini adalah cara terbaik untuk mengesahkan atau mendapat maklumat yang khusus berkaitan dengan pengesahan penyakit, melalui kajian DNA.
Bagaimana Talasemia dirawat?

Pesakit Talasemia Major memerlukan pemindahan darah setiap 2-4 minggu sekali. Melalui cara ini ia dapat mengelakkan dari kekurangan darah akan menghindar dari kelihatan pucat dan memastikan tisu badan mendapat bekalan oksigen yang mencukupi. Pesakit dapat hidup dan membesar secara normal.

Ini akan menggalakkan sum-sum tulang rehat dan dengan ini pembentukan tulang adalah normal dan menjadi kuat serta muka kelihatan normal.

Kekerapan pemindahan darah boleh menyebabkan pengumpulan zat besi dalam organ-organ utama seperti jantung, hati dan kelenjar endokrin. Keadaan ini menyebabkan kegagalan organ-organ tersebut berfungsi.
Zat besi yang berlebihan boleh dikeluarkan melalui terapi ?Chelation? yang boleh diberi melalui suntikan atau pengambilan secara oral.
Splenectomy (pembuangan limpa) ? mungkin perlu dilakukan dalam keadaan tertentu.
Pemindahan sum-sum tulang mungkin diperlukan jika terdapat penderma yang sesuai di kalangan ahli keluarga.
Penggunaan Terapi Genetik masih dalam peringkat kajian.
Iron chelators

Kekerapan pemindahan darah boleh menyebabkan peningkatan zat besi dan ini boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius termasuk diabetes, kegagalan jantung dan penyakit hati.

Pengambilan ubatan juga boleh digunakan untuk mengeluarkan lebihan zat besi dari darah. Ia dipanggil 'iron chelators' - yang berfungsi untuk membendung zat besi dan melepaskannya melalui buah pinggang.

Ubatan ini biasanya diberi melalui suntikan dengan menggunakan infusi pam secara perlahan untuk beberapa jam.

Pemberian zat besi 'chelators' dari jenis tablet boleh diberi sekiranya rawatan infuse tidak sesuai atau tidak berkesan. Walau bagaimanapun, pengambilan ubat ini boleh menyebabkan kesan sampingan yang teruk dan memerlukan pemerhatian yang teliti. Injection-desferal Oral-L1and ICL 670

Apakah kesan jika Talasemia tidak dirawat?

Jika tidak dirawat pesakit Talasemia akan mengalami gejala seperti yang di nyatakan di atas dan boleh membawa kematian disebabkan kekurangan darah yang teruk.

Walaupun pemindahan darah dilakukan berulang kali sepanjang hayat boleh menyelamatkan nyawa, tetapi ianya juga boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius disebabkan oleh lebihan zat besi di dalam badan pesakit Talasemia. Dalam jangka masa panjang, pesakit yang mengalami Talasemia akan menyebabkan pengumpulan zat besi dalam badan terutamanya di hati, jantung dan kelenjar endokrin (yang menghasilkan hormon). Pengumpulan ini akhirnya akan menyebabkan gangguan kepada fungsi normal jantung, hati, dan juga menyumbang kepada kelewatan tumbesaran serta kematangan seksual. Komplikasi ini boleh dielakkan dengan pemberian zat besi chelation secara berkala.

Kualiti hidup pesakit Talasemia

Peningkatan pemulihan dalam pengurusan klinikal Talasemia Major sejak 10-20 tahun yang lalu telah meningkatkan kualiti kehidupan pesakit. Pesakit mampu dan mudah mendapatkan rawatan seperti yang di sarankan.

Bolehkah Talasemia dielakkan?

Talasemia boleh dielakkan dengan pengesanan awal pembawa serta mengelakkan perkahwinan antara pembawa Talasemia

Adakah kumpulan sokongan untuk penjagaan kanak-kanak Talasemia?

Anda boleh menghubungi hospital atau klinik yang berdekatan atau Persatuan Talasemia Malaysia.

(1) 2 »

PENAFIAN


Hospital Port Dickson tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada laman web ini.

Pautan Utama


1Malaysia  MyGov  MSC  KKM