Hubungi Kami

Hospital Port Dickson
KM 11 Jln Pantai
71050 Sirusa Port Dickson, N. Sembilan
No. Tel : 06-648 7333
No. Fax : 06-662 5003
Emel: hpd@moh.gov.my

Waktu Melawat

ISNIN-JUMAAT :
Waktu 1 : 12.30 tghari - 2.00 petang
Waktu 2 : 4.30 petang - 7.00 petang

SABTU/AHAD/KELEPASAN AM :
12.30 tghari - 7.00 petang

Media Sosial Rasmi

Hospital@Facebook
Sila Like FB Page :
Hospital Port Dickson -Official- untuk mengikuti perkembangan semasa Hospital Port Dickson di media sosial.

Selamat Datang ke Laman Web Rasmi HPD

Topik Kesihatan : Bulimia & kesan Pada Gigi
on 2015/3/6 2:50:00 (3735 reads)

Bulimia & Kesan pada Gigi

Bulimia juga di kenali sebagai bulimia nervosa adalah satu masalah fisiologikal berkaitan tabiat makan yang tidak sihat. Pesakit yang mengidap bulimia ini biasanya makan lebih banyak dari kebanyakan orang biasa. Rasa kuat ingin makan ini bukannya didorong oleh rasa lapar yang amat sangat. Selepas makan, biasanya para pengidap bulimia ini akan merasa bersalah terutama mengenai berat badan. Biasanya pengidap masalah ini akan melalukan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti menjolok tekak bagi memuntahkan makanan secara paksa, berlapar, penggunaan ubat laksatif dan diuretik mahupun melakukan senaman berlebihan bagi menurunkan berat badan secara tergesa - gesa dan berlebihan.

Pada mulanya, Bulimia ini hanya dikenali sebagai masalah yang berhubung kait dengan tabiat pemakanan secara tidak sihat pada tahun 1980an. Adalah agak sukar untuk mengenali pesakit dari golongan ini sebab kebanyakan mereka boleh kelihatan seperti normal dan mempunyai berat badan yang unggul. Walau bagaimanapun, terdapat juga segelintir yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan golongan ini terdiri daripada wanita yang berjaya dalam kerjaya mereka.

Selain dari itu, pesakit dengan masalah ini melakukan aktiviti-aktiviti tidak sihat secara sulit dan bersendirian tanpa di ketahui umum dan biasanya sukar untuk mendapatkan pengakuan dari mereka bila di tanya.

Apakah yang menyebabkan bulimia?

Buat masa ini, tidak terdapat sebarang jawapan yang tepat. Para pengkaji percaya ia adalah berpunca dari rasa depresi, tekanan perasaan, rasa tidak puas hati pada berat badan dan bentuk tubuh yang di miliki. Biasanya mereka yang mempunyai masalah ini akan cepat merasa rendah diri, tidak berketerampilan dan takut akan jadi gemuk.

Komplikasi kesihatan dari Bulimia

Beberapa komplikasi yang biasa dilihat adalah seperti berikut:

Lapisan enamel gigi akan menjadi haus akibat terdedah pada kandungan asik gastrik secara berkala.
Kaviti akan terbentuk pada gigi, menyebabkan perasaan sensitif pada gigi dalam keadaan sejuk dan panas.
Bengkak dan sakit pada kelenjar liur ( muntah yang kerap)
Ulser perut
Luka yang dalam atau tertembus pada lapisan dalam perut dan saluran esofagus
Pengumpulan air yang banyak dalam usus
Gangguan pada sistem buang air besar
Ketidakseimbangan cecair elektrolit badan
Dehidrasi/ kering di sebabkan kurang kandungan air
Kadar denyutan jantung yang tidak teratur dan serangan jantung dalam kes teruk
Berisiko tinggi untuk bunuh diri
Libido berkurangan
Tanda dan gejala Bulimia

Beberapa tanda - tanda yang biasa dilihat adalah seperti berikut:

Tabiat makan yang tidak dapat di kawal
”Menyingkirkan” makanan yang telah diambil dengan cara yang tidak betul
Amalan diet yang terlalu ketat
Bertahan lapar
Melakukan senaman jasmani yang berlebihan
Muntah, menggunakan ubat laksatif atau diuretik secara tidak betul untuk menurunkan berat badan
Muntah darah
Penggunaan tandas yang kerap selepas makan.
Terlalu risau tentang berat badan
Depresi atau mood yang berubah-ubah
Perasaan yang tidak dapat di kawal
Bengkak kelenjar di leher dan muka
Rasa pedih di ulu hati
Rasa perut buncit
Makanan tidak dapat dihadam sempurna
Sembelit
Pusingan haid yang tidak menentu
Masalah pergigian
Rasa lemah
Rasa letih
Faktor risiko Bulimia

Masalah tabiat makan yang tidak sihat ini merupakan fenomena yang kerap dilihat dalam beberapa kerjaya seperti permodelan, penari, ahli gimnastik, peninju dan pelari jarak jauh.

Statistik Bulimia

Di Amerika Syarikat, terdapat lebih kurang 10% pelajar kolej wanita lepasan remaja mengidapi sindrom Bulimia.
Lebih kurang 10% dari pengidap Bulimia adalah lelaki
10% dari pesakit Bulimia mati akibat kelaparan, serangan jantung, dan komplikasi perubatan lain, ataupun bunuh diri.
Hakisan pada gigi

Bulimia telah lama dikenal pasti sebagai salah satu sebab kepada hakisan gigi sepertimana yang di laporkan dalam beberapa kajian ke atas orang dewasa. Hellstrom dan Hurst adalah pengkaji yang mula mengenal pasti dan melaporkan masalah bulimia pada tahun 1977. Selepas dari itu, terdapat banyak laporan yang dikeluarkan mengenai masalah ini. Kebelakangan ini , statistik menunjukkan masalah ini semakin meningkat. Muntah yang teruk dan berlebihan akan menyebabkan hakisan pada gigi terutama di bahagian lelangit (palatal) gigi-gigi di rahang atas.

Hakisan pada gigi ini boleh didefinisikan sebagai kehilangan tisu keras gigi akibat tindakan bahan kimia yang tidak melibatkan bakteria. Struktur gigi akan mula dihakis bila di dedahkan kepada sumber luar seperti makanan dan minuman berasid, ataupun dari sumber intrinsik seperti asid yang di muntahkan dari dalam perut ke rongga mulut (refluk gastroesophagus) atau muntah.

Hal ini terjadi bilamana, makanan yang telah dicerna dalam perut (bolus) dengan paras keasidan pH kurang dari 1, ditolak keluar melalui esofagus ke rongga mulut secara luar kawalan dan bersentuhan dengan gigi-gigi sedia ada (GERD - gastroesophageal reflux disease).

Tanda, gejala dan diagnosis

Tanda-tanda pada peringkat awal hakisan biasanya tidak disedari. Proses hakisan ini akan berterusan secara perlahan dan pada peringkat teruk, ia akan menyebabkan kehilangan lapisan enamel gigi. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya gigi sensitif. Namun demikian, ramai orang tidak tahu akan akibat dari hakisan ini dan langkah-langkah sesuai yang perlu diambil bagi melindungi gigi dari komplikasi hakisan ini.

Pengambilan riwayat perubatan yang terperinci dan pemeriksaan secara menyeluruh adalah sangat-sangat digalakkan bagi mengenal pasti faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada risiko hakisan gigi di kalangan pesakit.

Tanda dan gejala gigi terhakis

Lut cahaya Gigi hadapan akan kelihatan telus dan nipis di pinggir gigitan
Sensitif Apabila dentin terdedah, gigi akan terasa sensitif bila mengambil makanan dan minuman panas, sejuk atau manis.
Berubah warna Gigi akan berwarna kekuningan bila lebih banyak dentin yang terdedah.
Gigi tak rata Permukaan gigi dan bahagian pinggir insisor akan kelihatan berlekuk lekuk.
Retak Permukaan gigi akan menjadi kasar dan mungkin terdapat keretakan kecil di pinggir insisor gigi.
Lekukan Terdapat lekukan kecil pada permukaan mengunyah gigi. Sebarang tampalan akan kelihatan menimbul.

Kepekaan dentin (sensitif) boleh terjadi pada mana-mana peringkat hakisan gigi. Keadaan ini sering di lihat bila gigi tersentuh dengan makanan atau minuman yang panas, sejuk mahupun manis. Biasanya, pesakit lupa untuk melaporkan tentang keadaan gigi yang sensitif semasa diperiksa.

Pencegahan kehakisan gigi

Keupayaan untuk mengenal pasti keadaan hakisan gigi (pada peringkat awal) dan penyebabnya adalah penting dalam aspek pencegahan dan buat perancangan rawatan yang sesuai bagi mengelakkan komplikasi yang teruk. Setiap rancangan rawatan adalah berbeza tertakluk pada keadaan individu memandangkan faktor penyebab adalah luas.

Cadangan-cadangan untuk mengurangkan risiko hakisan pada gigi adalah seperti berikut:

Mengurangkan atau berhenti mengambil minuman berkarbonat
Mengunyah gula-gula getah tanpa gula, mengambil julap tanpa gula, atau makan sekeping keju selepas makan makanan berasid bagi merangsang pengeluaran liur yang banyak bagi melindungi enamel gigi.
Berus gigi satu jam selepas mengambil makanan atau minuman berasid.
Berus gigi dengan menggunakan berus lembut, ubat gigi berfluorida yang mempunyai lelasan dan tahap asid yang rendah..
Tahap hakisan pada gigi boleh dikategorikan sebagai sedikit, sederhana atau teruk. Hakisan gigi yang teruk daripada dijangka pada umur tertentu boleh dianggap patologi. Kedua dua pesakit dan perawat perlu berbincang tentang kaedah yang di anggap paling sesuai dalam menangani masalah ini. Biasanya, keadaan lanjut boleh dicegah dengan bertukar cara hidup yang lebih sihat seperti mengelakkan pengambilan makanan dan minuman asidik yang boleh menghakis gigi. Hakisan yang terjadi di permukaan pengunyahan gigi akan menyebabkan gangguan pada kestabilan satah gigitan.

Rawatan untuk bulimia termasuk memberi ubat anti-depresi atau psiko aktif yang bertindak atas kelenjar liur.

Cadangan

Ujian khas seperti penilaian GERD boleh di gunakan semasa rujukan. Sama ada faktor penyebab boleh dikenal pasti atau tidak, protokol pencegahan perlu dilaksanakan bagi mencegah penularan.

Keadaan gigi mesti di periksa secara berkala dan direkodkan seperti mengambil gambar atau membuat model tuangan bagi tujuan pemerhatian dan perbandingan serta penilaian terhadap kepatuhan dan kejayaan dalam rawatan. Hakisan pada gigi memerlukan perhatian dan jagaan yang rapi. Pengenalan awal adalah perlu bagi mencegah hakisan lanjut ke peringkat yang lebih teruk.



Semakan Akhir : 17 Disember 2009
Penulis : Dr. Balkis bt. Ghazali






Sumber dari portal www.myhealth.gov.my



Other articles
2017/8/10 6:40:00 - Iklan Pengambilan Pekerja Sambilan
2017/8/9 1:50:00 - Aditif Makanan
2017/8/9 0:10:00 - Rabies
2017/8/8 23:30:00 - Talasemia
2017/8/2 5:20:00 - Sebutharga Hospital Port Dickson

PENAFIAN


Hospital Port Dickson tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada laman web ini.

Pautan Utama


1Malaysia  MyGov  MSC  KKM